Fakta Sejarah Aceh Malaya

Gampong Aceh di Malaya

KISAH ORANG ACEH DI MALAYSIA :

Darah ulama mengalir dalam masyarakat Aceh

 Sanggup Beri Tanah, Dana Bina Sekolah

 ANTARA pelajar Maktab Mahmud yang meneruskan sistem pendidikan agama dan bahasa Arab di Kampung Aceh.

NIAT asal untuk membantu pe¬perangan menentang Belanda, manakala penghijrahan ke bumi orang untuk mencari dana. Untuk itu keringat diperah semata-mata memastikan bumi Aceh terus dapat dipertahankan. Begitu gambaran awal punca kedatangan orang Aceh ke Tanah Melayu pada hujung abad ke-19.

Mereka, kebanyakannya terdiri di kalangan ulama yang menerima tekanan Belanda terpaksa memilih merantau ke bumi orang, bukan menyelamatkan diri, tetapi sebagai usaha penentangan dari jauh. 

Di bumi orang (Tanah Melayu) terutama di sekitar Yan, ulama ini berusaha mencari dana untuk membeli senjata bagi membantu peperangan di Aceh.

Konsep ‘beras segenggam’ diamalkan semua masyarakat Aceh pada era itu benar-benar memberi impak kepada perkembangan masyarakat Aceh di Tanah Melayu. Setiap isi keluarga tekun mengusahakan pertanian dan sebahagian hasilnya disumbangkan untuk membeli senjata dengan Inggeris di Pulau Pinang tanpa mengetahui betapa mereka mungkin tertipu.

Kesedaran mula timbul dengan kehadiran Teuku Abdul Djalil Lamno yang akhirnya membuka mata masyarakat Aceh di Yan mengenai usaha mereka mungkin sia-sia.

 Dikatakan, pembelian senjata dengan Inggeris mungkin menyebabkan mereka tertipu kerana hakikatnya Inggeris dan Belanda tidak banyak berbeza. Kedua-duanya adalah penjajah.

Mungkin bagi sesetengah orang, nama Abdul Djalil kurang dikenali, tetapi bagi masyarakat Aceh, lelaki kelahiran Lamno pada 1917 dan berdarah keturunan hulubalang, begitu berjasa dalam sistem pendidikan masyarakat Aceh sehingga kini berdiri megah cawangan Maktab Mahmud sebagai simbol keutuhan me¬reka dalam pendidikan Agama dan bahasa Arab.

Antara generasi terawal yang pernah menerima pendidikan awal berkonsepkan sekolah pondok di kampung Aceh, Abdul Malik M Taib, berkata kehadiran Abdul Djalil ke Yan selama lebih setahun sebelum meneruskan perjalanan ke India, berjaya mengubah pendekatan sumbangan masyarakat Aceh.

“Beliau memotivasikan penduduk di sini supaya duit yang selama ini dikumpulkan untuk peperangan sewajarnya digunakan untuk pembangunan sekolah agama di kampung Aceh. Nyata, pengaruh dibawanya berjaya mengubah pen¬dekatan mereka sehingga wujud Sekolah Agama Attarbiah Addiniah Auladiah yang memfokuskan pengajian agama dan bahasa Arab.

“Sebenarnya disebabkan kebanyakan orang Aceh yang datang ke Yan adalah daripada ulama, pendidikan sudah lama menjadi keutamaan mereka. Malah, sampai hari ini orang Aceh begitu mengambil berat soal ini dan memastikan semua anak mendapat pendidikan sewajarnya.

“Dulu sebelum sekolah dibangunkan, orang Aceh belajar di surau atau dayah dengan didirikan pondok, selepas cadangan Abdul Djalil, sekolah daripada pokok buluh didirikan. Atas keupayaan ekonomi orang Aceh yang semakin membangun, dana semakin banyak dihulurkan orang kampung untuk membolehkan sekolah dari kayu dan simen dibina.

 Dulu sebelum sekolah dibangunkan, orang Aceh belajar di surau atau dayah dengan didirikan pondok, selepas cadangan Abdul Djalil sekolah daripada pokok buluh didirikan

Abdul Malik M Taib

“Bagi mereka yang tiada wang, mereka sanggup bekerja sehari suntuk mengangkut batu sungai untuk membantu pembinaan. Ada yang belikan kayu dan ada juga yang sumbangkan hasil berkebun selama sehari dua kepada sekolah. 

la dilaksanakan pada sekitar 1935. Abdul Djalil sendiri menjadi guru dengan dibantu Tengku Abdul Hamid dan Tengku Md Dahan,” katanya ketika membawa penulis melawat Maktab Mahmud yang kini menggunakan tanah sekolah agama asal itu.

Ternyata, masyarakat Aceh memang selama berhijrah ke Tanah Melayu bengunan dibina tidak mampu menampung pertambahan pelajar. Sekali lagi, penduduk menjadi nadi dengan menyumbang untuk membesarkan sekolah.

Pertambahan pelajar sekali gus memerlukan guru tambahan dan jawatan kuasa sekolah terpaksa mengambil guru dari Aceh untuk mengajar, masalah timbul kerana tiada wang untuk membayar gaji guru.

Semangat orang Aceh dalam berdakwah dan berjuang pada jalanNya begitu menebal. Ramai menyumbangkan tanah untuk diwakaf dan diusahakan untuk pembangunan sekolah. Sistem perkiraan tanah berdasarkan relung dan sebanyak 60 relung berjaya diperoleh untuk di¬usahakan serta hasilnya untuk pengurusan sekolah.

Sumbangan tanah ini juga yang mencetuskan penubuhan koperasi SABENA yang berperanan menguruskan tanah sumbangan ini. Pendudukan Jepun mengganggu mereka kerana ketika itu hasil getah merosot sedangkan jumlah tanah terbesar daripada sumber getah.

 MAKTAB Mahmud yang kini menggunakan tapak asal sekolah masyarakat Aceh di Yan.

Jepun pula bertindak melampau de¬ngan menawan guru agama dari Aceh yang mengajar di Yan untuk dihantar ke Banda Aceh dan Medan bagi mengintip pergerakan Belanda.

 Keadaan itu menyebabkan operasi sekolah terhenti dan sistem pondok juga mati. Selepas 1946 baru sistem itu cuba dihidupkan kembali tetapi tidak sehebat dulu.

“Selepas merdeka, sukar sebenarnya mengembalikan kegemilangan sekolah agama ini kerana penduduk sudah mula menganggap pelajaran di sini hanya terhadap kepada bahasa Arab dan agama, se¬dangkan pada ketika itu sudah ada se¬kolah Ingger is dan sekolah kebangsaan.

“Bukan mudah juga sebenarnya untuk menarik mereka terus belajar di sekolah Inggeris kerana di kalangan keluarga Aceh sudah ditanam semangat antikafir. Bagi mereka, belajar bahasa Inggeris sama dengan belajar ilmu orang kafir. Oleh kerana itu agak lambat juga anak Aceh dengan kemajuan.

 “Apapun, zaman pendudukan Jepun banyak juga mengubah kampung Aceh. Ramai berhijrah ke luar dan terus menetap di lokasi baru.

 Selepas itu pula, ramai pula ditawarkan menjadi peneroka FELDA. la secara tidak langsung menjadi penyebab kepada kemerosotan penduduk di kampung Aceh sekaligus memberi kesan kepada sekolah agama.

“la menyaksikan sekolah agama ini akhirnya tidak mendapat sambutan lagi dan pada sekitar 1960-an, Tan Sri Sanusi Junid mewujudkan sistem pengajian kemahiran di sekolah itu. Itu pun hanya mampu bertahan tidak sampai 10 tahun. 

Oleh kerana itu saya mencadangkan supaya sekolah ini menjadi cabang Maktab Mahmud Alor Setar. Tidak sampai dua bulan cawangan itu diwujudkan dan ia menjadi pencetus kepada cawangan lain di setiap daerah seluruh Kedah,” katanya lagi.

Menceritakan mengenai uniknya budaya Aceh ialah seorang anak lelaki bujang, jarang tidur dan berada di rumah ia turut dialami Abdul Malik yang ketika zaman bujangnya hanya pulang ke rumah untuk makan dan kembali berada di pondok untuk mendalami ilmu agama.

Bukan kerana jarak pondok yang jauh dari rumah kerana secara fizikalnya, kampung itu tidak sebesar mana tetapi ia sudah menjadi rutin orang Aceh untuk tidur di pondok atau surau belajar aga¬ma.

 Oleh kerana itu banyak surau dan dayah didirikan dalam kampung Aceh dengan dikelilingi pondok. Hampir se¬tiap lorong ada surau dan ada juga nama besar sebagai tokoh pengembangan pe¬ngajian agama di sana.

Antara nama yang dianggap tokoh dalam pendidikan dalam kalangan orang Aceh ialah Raden Mahmud yang hebat dalam berpidato. Malah, kehadirannya juga yang mencetuskan pertandingan perbahasan antara etnik.

 Beliau juga dikatakan terbabit dengan Angkatan Pemuda Islam (API) untuk menentang Jepun menyebabkan beliau turut ditangkap dan dihantar ke Aceh bersama-sama Tengku Syed Abu Bakar.

Tengku Hasbullah Inderapuri pula, meskipun dianggap sebagai tokoh besar orang Aceh di Yan, bukanlah pula bertindak sebagai pengajar. Beliau lebih kepada pakar motivasi yang menanam semangat cintakan Aceh kepada masyarakat itu di Tanah Melayu. Adiknya, Tengku Md Dahan pula pakar al-Quran yang mengajar.

Meskipun berlainan pendekatan, adik beradik Hasbullah dianggap pencetus ke¬pada perkembangan pendidikan dan sistern dakwah di kampung Aceh termasuk adiknya Tengku Md Dahan dan Tengku Abdul Hamid yang jasadnya kini bersemadi di lokasi belakang Maktab Mahmud.

“Teringat saya ketinggian ilmu Md Da¬han ketika mengajar dulu. Kami belajar di tingkat bawah rumah, manakala Md Dahan di atas dengan hanya memegang batu. Beliau mendengar kami membaca dan akan mengetuk batu ke lantai kayu jika ada tersilap. Tanpa melihat kami, dia tahu di mana silapnya,” katanya.

Kampung Aceh bukan sekadar pen¬cetus kepada pendidikan agama dan dakwah orang Aceh di Malaysia tetapi turut melahirkan pejuang yang menentang Belanda dan kepemimpinan Sukarno sehingga ada yang diburu serta melarikan diri ke negara ini seterusnya meninggal dunia di Yan.

Posting Komentar untuk "Fakta Sejarah Aceh Malaya"